Saturday, March 25, 2006

Jangan Biar Kau Terkurung

Airmata hawa gembira tertitis
Kau bebas dari resah yang memeringkuk
Bebas mencari identiti di sebalik tembok menakluk

Masih ada berjuta Fatimah Zahra' di permuka dunia
Mengindah maya seperti Rabiatul Adawiyah dengan cinta

Jangan biarkan sesiapa mempersoalkan kemampuanmu!

Di antara deru angin bernada pesimis
Pecahan ombak yang cuba menghakis
Kau masih bertapak tersenyum sinis

Rebahkan gunungan penghalang sinaran
Jangan lelah mengasari gelombang kebimbangan
Buaikan dirimu dengan lagu di kala ragu
Bernyanyilah bersama gerimis cemuhan
Gemakan impianmu agar mereka tahu
Niat dan perananmu dalam putaran waktu

Wanita,
Ibaratkan dirimu permata indah
Kerana martabatmu dijunjung Rasulullah
Engkau lambang seribu pesona pujangga

Terus maju kaum hawa ku sanjung
Lukiskan riwayat hayatmu tersimpul agung

Buat kaum hawa
Elmi Zulkarnain
http://elmizulkarnain.blogspot.com/
25 Mac 2006

Tuesday, March 21, 2006

Di dalam sana dia hidup
dengan kuasaNya...

dari sebesar zarah menjadi sesempurna sifat
bermula dengan jasad kaku
lalu ditiupkan roh dan juga restu
dia tenggelam, tetapi tidak lemas
tidak mengunyah makanan
tapi sentiasa senyum kekenyangan

kau bisa bertemankan degup nadinya di siang hari
kau juga bisa teruja dengan aksinya di malam hari
menjadi penghibur dikala kelesuan
pastinya perasaan indah yang kau rasa
melebihi nikmat perasaan dilamun cinta
sungguh!

dia makhluk terpilih
asal dari benih Adam dan Hawa
Persetankan Darwin!
tidakkah kau rasa teori itu menyesatkan?
kerana sesungguhnya aku lebih bertuah
menjadi saksi setiap saat, setiap waktu
bilamana di dalam ini dia hidup
dengan kuasaNya…

Sunday, March 05, 2006


Seganang Rindu Buat Nonoi



Kemungkinan resah cuba disembunyi
Dari gemintang malam sibuk membakar
Hingga senja menyelubungi pagi
Setelah ratusan pergi mencari
Dengan harapan dirimu selamat kembali
Namun akhirnya,
Kita bersemuka dengan kenyataan
Yang pedih menggigit hati

Nonoi tiada lagi!

Tangis, tangis air mata mencurah
Mengapa?
Angin turut bertiup kehangatan luka

Takdir hidup ajalmu awal tiba
Pemergianmu disambut hiba

Belum puas rasanya kau bermimpi
Bertatih berjalan memijak bumi
Detik akhirmu merenung ngeri

Ribuan simpati terhimpun doa
Keluhan cuba direda
Hikmah disebalik kejam peristiwa

Tidurlah yang amat dirindui
Dunia kau tinggalkan
Syurgawi menanti

Elmi Zulkarnain
050306
Buat: Allahyarhamha Nurasyura M. Fauzi (Nonoi)