Sunday, January 29, 2006


Segunung Kasih Seribu Ketika



Melepaskan diri dari lelah hidup
Hari-hari yang terik tanpa redup
Menangis dalam gelap bayang-bayang
Bersembunyi dari terang rembulan siang

Terjaga aku kembali pada nyata
Menjenguk keluar dari gelita rasa
Menahan nafas cuba mendengar
Degupan jantung tubuh gementar

Aku bertapak ke dalam lembah abstrak
Satu ketika dalam seribu lagi
Menonton kepalsuan yang meluas
Mendapat tempat pengganti kasih

Kisah lama aku cerminkan
Yang sukar lenyap dari ingatan
Sehingga aku di hujung waktu
Aku memburu gunung kasihku

Elmi Zulkarnain

Wednesday, January 18, 2006

Kritikan dan Sastera Singapura - 1

Dalam sesebuah forum ataupun eGroup, karya-karya akan dikongsi ramai. Dengan ulasan singkat, maka penulisan seseorang penulis diharapkan dapat diperbaiki. Mereka harus menerima pandangan atau perspektif pembaca dengan hati terbuka. Namun demikian, diharapkan para 'pengkritik' di sini memberikan pandangan mereka secara konstruktif dan berdasarkan ilmu pengetahuan sastera ataupun pengalaman menulis. Janganlah terlalu ikutkan emosi atau melontar ulasan dengan niat menjatuhkan.

Di Singapura ini, ramai penulis baru yang berbakat terus-terusan berkarya. Wadah pilihan mereka merupakan Internet. Ini adalah kerana kekurangan ruang di pulau kecil ini. Sastera Singapura bukan ASAS 50, dan ASAS 50 bukan sastera Singapura seperti ramai di seberang tambak jangkakan. Banyak janji-janji kosong yang ditaburkan untuk menaikkan sastera orang muda Singapura tetapi entah ke mana hasilnya, entah x3 ...

Di Kota Singa, penulis datang dari pelbagai pelusuk masyarakat. Dari pemerhatian saya, kebanyakan dari mereka merupakan dari golongan guru. Namun demikian, ramai juga guru yang tidak mempedulikan sastera. Ada yang kurang membaca dan sebilangan kecil guru pelatih atau trainee yang hanya menggangap sastera sebagai satu modul yang harus dilulusi. Pemikiran sebeginilah yang menghalang kecemerlangan sastera dari memuncak.

Saya akan kirimkan pandangan saya selanjutnya dalam ruangan akan datang.


Ikhlas
Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek

Sunday, January 08, 2006


Anjing Direstui Langit

Genang airmataku bila ku mengenang
Kehancuran dunia menindas tenang
Riuh terasa bergendang-gendang

Terpisah dari suara waktu
Terkandas aku di simpang itu
Air liurku tanda dahaga kasihMu
Mulutku terkatup bisu
Fikirku dibeban diganggu

Perdengarkan aku puisi indah
Desir dengarku angin bermadah
Jangan biarkan hatiku dipenjara
Benakku jangan biar dijajah dijarah

Ku pujuk mataku melihat langit
Penuh rindu mengadah tauhid
Batu merejam tidak ku rasa sakit

Restui yakin aku pada kuasaMu
Aku bangga jadi manusia biasa
Bukan pendita yang berdekah-dekah
Bukan Ustaz berjubah pura-pura

Rela aku diibarat anjing liar
Tetapi salakanku memujiMu
Lari kakiku mendekati rumahMu
Goyang ekormu mengeja namuMu
Burung angkasa tahu niatku
Langit ikut memberi restu

Elmi Zulkarnain
080106
www.geocities.com/pujanggatemasek