Saturday, December 16, 2006


Selalunya aku akan menulis puisi, artikel, esei akademik dan sebagainya. Selalunya bergerak objektif berdasarkan hasil pencariannya yang terbukti dan kukuh. Tetapi kali ini, aku mahu menulis tentang sesuatu yang aku rasa. Yang aku dapati dari perspektif peribadi. Bukan untuk mengkritik tanpa alasan tetapi sekadar ingin berkongsi pendapat tentang drama SEMBILU.

Drama bersiri arahan Yusof Haslam & son nampak jelas ada sebilangan pengikutnya. Akan tetapi tidak ada sesiapakah selain aku yang ingin mempersoalkan nilai estetika drama SEMBILU itu. Sampai bersiri-siri sehinggalah kini.Dunia koperat, rumah mewah, kereta besar, pakaian eksekutif dan berbagai lagi unsur material yang dipaparkan. TETAPI aku rasakan tidak perlu untuk menjadi siswa seni berPHD untuk kita mempersoalkan plot dan mesej yang ingin disampaikan. Tidakkah penonton perasan bahawa plotnya diulang-ulang?

Cerita skandal, cemburu Hetty Sarlene, jatuh bangun kisah cinta dengan Zed Zaidi itu diulang-ulang. Aznah Hamid yang sekejap suka tidak suka menantunya. Antara jadi dan tak jadi. Unsur suspens ke itu? Aku rasa tidak. Itu aku tafsirkan sebagai plot yang mombodohkan masyarakat. Mengapa masih diteruskan? Mungkin kerana sidang penonton ikut terhibur dengan skrip yang berulang tetapi latar berubah. Ataupun tidak ada drama bermutu yang pengelola siaran Suria atau RTM dapat pertimbangkan untuk disiarkan? If the buying stops, so can all these god forsaken melodramas.

Peminat drama bersiri ini pasti akan tersentuh dengan apa yang aku ingin luahkan, Mereka mungkin akan lepas kekata klise seperti, “Tak mau tengok, tukar channel.” Malangnya aku di Singapura ini tidak mempunyai saluran Melayu lain selain Suria. Aku juga bayar lesen TV jadi aku rasa aku punyai hak untuk menyuarakan pendapat aku. Aku tidak mempunyai motif untuk menjatuhkan sesiapa. Aku setakat ingin mengetengah keprihatinan aku mengenai nilai sesebuah drama. Penilaian semua orang berbeza. Aku hormati kenyataan itu. Sekiranya ada yang bersependapat dengan aku, alhamdulilah dan terima kasih aku ucapkan seikhlas hati.

Elmi Zulkarnain

Monday, December 04, 2006

Kau yang cari pasal. Kemudian bila sakit kau salahkan Tuhan?

Saturday, December 02, 2006


Aku Bukan Shakespeare


Merentas kulit bumi dari Esplanade ke Arab Street
Tertawa bersama bayu yang menyapa cinta
Yang terlukis dalam Anthony dan Cleopatra
Soneta cinta Venus dan Adonis stanza derita
Kisah tragis Macbeth dan Hamlet, Ophelia teraniaya

Tetapi, aku bukan Shakespeare!
Aku tidak mahu jadi seperti Shakespeare!

Aku lebih tersentuh dengan gemuruh ombak Chairil
Coretan selaksa sengketa dunia Rasiah
Aku ingin menapaki gunung bersama Suratman
Memijak awan putih memimpin Masuri

Aku ingin menulis, ibarat …
Mencari telaga jernih di lembah kasih
Di antara belantara resah dan kecewa
Bertangis duka menghentak kalbu merintih
Berkelana dengan deraian harapan
Bernyanyi dengan nada kemerduan
Mencapai kejora hikmah untuk Melayuku raih

Ku lukis segenap pupusnya asa tanpa tujuan pasti
Ku untai kata-kata cinta pada Tuhanku Ilahi
Bersama benang-benang kasih yang terjalin
Menjadi sulaman indah tatapan yang lain

Aku juga perlu lukiskan rindu
Seperti Amir Hamzah yang namanya
Sering ku ucap di bibir keringku
Ibarat menitiskan embun di pucuk daunan
Rindu yang pasti, rinduku pada Tuhan

Di Baghdad Street bersama secangkir teh halia
Terasa sepi nan menikam sukma hilang lari
Tak ku pedulikan hingar bingar dan kelipan cahaya

Denyut nadi aku pantas bergetaran
Masjid Sultan melaungkan azan
Buku-buku Shakespeare ku tinggalkan
Puisi teguhku terkunci di lorong diri
Lingkar takdir, di situ ketentuan Ilahi
Gundah yang mengusik dibiarkan sahaja
Waktu untuk bersama Sang Pencipta sudah tiba. – Elmi Zulkarnain 2/12/2006