Wednesday, December 28, 2005


Binatang!



Kau ketua?
Kau aktivis?

Hahahaha!

Gelak aku .. kau berlawak

Kritik sana, kritik sini!
Forum sana, forum sini!
Pertemuan sana, sini …

Kau perjuangkan apa, siapa?


Kebencianku pada mereka yang mengejar nama
Kebencianku pada mereka yang bermain kata
Pergunakan sastera dan bahasa untuk menyanjung diri
Pergunakan orang kecil ibarat kambing biri-biri

Kau, kau, kau binatang!

Hey!

Aku tetap dengan puisi mabukku
Aku tulis sepenuh hati
Dengan pena merah ligat menari
Bersama cakrawala dan bulan di sisi
Aku bukan penyair sunyi
Aku masih berani

“Ah, aku tidak perlu dipanggil sasterawan!”

Penulis muda .. ya aku muda
Penulis gila .. ya aku gila

Demikian dunia Melayu ini
Penuh dengan dengki
Aku terapung dalam kolam politik mereka
Aku belum lemas …
Mati jauh sekali

Biar si langit menjadi saksi
Aku tidak terbakar terik mentari
Puisi aku bernyala seperti api neraka
Membakar binatang berkata dusta

Elmi Zulkarnain

Thursday, December 22, 2005



Langit Menyimpan Seribu Hujan





Langit menyimpan seribu hujan
Hujan yang menyimpan berjuta harapan
Tunggu membasuh derita desa Rara tercinta

Bersama awan nan mendung
Zahara, nampak murung
Ayah dan ibu tiada bersama
Di bawah timbunan bata entah di mana
Kemiskinan keseorangan cuba fahami hakikat
Mencari kebebasan dari kehidupan tersekat

Lambaian rumputan liar dan angin mendingini
Cuba melenakan dia melupakan segala
Namun, mengingati saudara yang telah pergi
Hati yang remuk asyik bertanya

Kabus menyelimuti segenap kawasan gunung
Hawa sejuk salju menikam kulit
Hanya khemah kanvas menjadi pelindung
Sepuluh tubuh manusia berhimpit-himpit
Terdengar seorang lelaki meraung
Zahara dan gelisah terus bertarung

Penduduk Rara hidup binasa
Musim bertukar keadaan tidak berubah
Rumah dan sekolah masih tiada
Setiap ketika hanya menampung air mata
Gempa Kashmiri telah meragut segala-gala

Si dara yang yatim kini menjadi mangsa
Manusia buas melayan nafsu mereka
Anak kecil dijaja mengejar dolar
Janda cuba menyusu anak tidak bernyawa

Mata merah menyala
Kecewa merayap dalam hati
Zahara ingin terbang tinggi
Membawa jeritan dan sedih sendiri

Dia tidak akan membiar diri kalut begitu
Tergerak pula menenang jiwa terganggu
Tergerak pula ingin sedar dari racau mengganggu
Di atas pasir dengan sejadah
Sebut dia kata-kata Allah
Dengan kain putih menutup kepala
Zahara masih percaya

Akan menjelma seketika cahaya
Merubah derita jadi bahagia
Akar iman mengurat di bumi tercinta
Sungai hampir kering ikut bertasbih
Menyelesakan diri yang kian tertindih
Berzikir bumi memberi pujian pada yang Esa
Hati mula tersenyum bebas dari siksa
Hujan akan turun bersama harapan
Bersama haruman bunga syurga Tuhan
Sungai kembali deras sepanjang masa
Mengalir barakah ke hilir semula

Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek
22 Disember 2005
Buat Desa Rara, Pakistan

Tuesday, December 20, 2005



Secebis Harapan Cinta

Kenapa aku bercinta?
Kerana Muhammad kekasih Allah
Kerana Rasullullah mencintai umatnya
Manusia digalak ikut bercinta
Cinta pada manusia
Cinta pada alam
Cinta dibiar mengalir setiap masa

Aku juga bercinta ...

Aku bercinta tanpa mengenal rajuk
Bersama syukur dan sujud aku memeluk
Membelai dirimu tanpa mengenal ngantuk

Dalam lena juga aku terjaga
Kerana kerinduan pada si dia
Dia yang membuat ku coret setiap rasa
Dia yang mengocakkan rasa asmara

Aku berharap, ya aku berharap
Bukan .. aku bukan bermimpi
Aku dan dia tidak mahu bersembunyi
Kisah cinta yang punya segala kemanisan
Biar ku cerita pada skeptis-skeptis percintaan

Derita yang dulu berlabuh
Kini diganti rasa manja yang bersauh
Kupu-kupu sayu yang dulu bertamu
Kini mewarna hariku ceria selalu

Semua orang berkasih
Kerana rasa kasih kurniaan Ilahi
Dan dengan mencintai si dia
Membuatku lebih kasih akan diriNya

Kabulkan layar impianku Tuhan
Biarkan rasa cinta ini berpanjangan
Cinta padanya ku akur setia
Cinta hakiki padaMu tidak ku persia

Elmi Zulkarnain
Buat si dia …
20 Disember 2005

Thursday, December 08, 2005

Cela_ka

Suara tu datang lagi. Bukan aku nak lupakannya. Cuma setiap kali suara tu datang, ingatan aku kembali pada kisah yang aku nak lupakan.

Hati aku yang dicincang, dituang cuka dan diblender halus. Sehalus cili boh sambal ikan bilis kelmarin. Pedih sampai aku dah tak rasa apa-apa lagi. Itu setahun lalu.

Hari ini. Aku paksa diri aku senyum. Dia tetap kawan aku. Setia pada aku walaupun si celaka tu meracun dia guna paraquat.

Dia aku jumpa. Nampak senyum aku. Gelak aku. Kadang-kadang merepek. Kadang-kadang sinis.

Aku makan lauk yang dihidang. Aku order lagi. Biar aku sibuk berfikir tentang apa yang perlu dihadam. Bukan si celaka.

Kisah celaka tu aku sudah simpan dalam kotak. Aku balut guna tali rafia. Nak aku bakar, tapi aku rasa aku perlu simpan dulu. Sebelum aku mulakan episode baru. Hidup aku. Ke 26.

Buat si celaka. Aku tak doakan ko sejahtera. Ko tak layak berada dalam doa aku.


Perginya Seorang Penyair

Awan putih menyuram kelabu kegelapan
Turut menyembunyi mentari yang kesedihan
Suasana senja memujuk rasa gundah kehilangan

78 tahun dirimu mengenal dunia
Ribuan tahun lagi dirimu bernyawa
Kerana kau satu-satunya ayah puisi moden

Kerana sayang
Guratan pena menjadi karya
Ribuan naskah, jutaan kekata
Buat pedoman pengiring bangsa

Kerana cinta
Kau jelmakan bait-bait puisi mempesona
Menyedarkan manusia termenung sentiasa
Membangunkan mereka yang terlelap seketika

Kerana kasih
Puisimu menerjang badai gelora
Menghadang gelombang duka
Martabatkan kedudukan Melayu Singapura

Tidak pernah dirimu kenal akan putus asa
Malah meyakinkan prodigi-prodigi muda
Mengghairahkan para penulis terus bercinta
Pada unggulnya sastera, agama dan budaya

Aku cinta padamu Cikgu!
Ibarat laut pada daratan
Seperti sungai pada sang hujan
Bak rerama pada bunga cantik Tuhan

Bersama yang lain
Doa diutus agar rohmu dirahmati sentiasa
Bintang beratur bertitian menjemputmu ke syurga

Elmi Zulkarnain
Buat Allahyarham Dr. Masuri S.N
11 Jun 1927 - 06 Disember 05

Tuesday, December 06, 2005


Perkarangan Rumah Tuhan

Dalam kepekatan malam
Ku biarkan kakiku merayau
Mataku dipukau oleh sosok-sosok manusia
Yang berselimpuh di perkarangan Masjidil HaramNya
Tangan diangkat, mulut berkamit

Fisabilillah, fisabilillah

Derita mereka bergerimis di kalbuku
Ibarat hidup diteteskan embun duka selalu
Butiran cahaya memanggil mata
Masjid Al-Haram menjemput jiwa

5 dinar yang ada di saku
Aku hulurkan pada seorang tua
Berjanggut putih, berjubah biru muda
Tanpa tangan dia menerima

Syukran, syukran

Tiga lagi pengemis kulit hitam menghampiri
Aku terpaku, terpacak kaki
Angin resah menyelimuti
Aku rasa ditakuti

Solat Al-haram, Allahu Akbar

Jari ku tuding ke arah Kaabah
Tersenyum mereka
Terdiam sejenak aku jua
Aku membalas dengan senyumku
Bersalaman dengan mereka syahdu
Anehnya tangan mereka selembut baldu
Harum bau datang menderu

Dengan rasa keliru
Aku meminta diriku
Kiblat tuhan aku menuju

Siapa mereka itu?

Elmi Zulkarnain
Pengalaman Umrah
061205

Monday, December 05, 2005


Repentance (Tawbah) – A Solemn Poetry

Is the feeling
It is the act
One recognizes and tries to right a wrong
Gain forgiveness from someone
Because I’ve sinned
Make me produce admissions of guilt
A solemn promise
A resolve not to repeat

Make me attempt restitution for the wrong
Make me reverse the harmful effects of the wrong where possible.
Because I know the feeling of sorrow
Because I want to grow

To embrace humanity
To love differences
To love regardless of race
To love regardless of worship
Repentance is knowing again love.

Elmi Zulkarnain

Saturday, December 03, 2005


Hai, Aceh Dijual …?

Aku amat kecewa mendengar yang pemerintah Aceh sanggup menamakan dua batang jalan raya di sana sempena nama George W. Bush (Jnr) dan Bill Clinton. Ini dilakukan kerana pemerintah Aceh dikatakan terhutang budi dengan bantuan Tsunami A.S dari segi logistik dan pendermaan wang sebanyak AS$300,000.

Sekiranya aku jadi jutawan, dengan mudah, beberapa batang jalan raya Aceh dinamakan sempena nama aku. Atau sekiranya Siti Nurhaliza, Saiful Apek atau Mawi tidak berkeberatan mendermakan ratusan ribu dolar, Jalan Asmawi, Jalan Apek atau Jalan Siti Nurhaliza boleh menjadi satu kenyataan. Ironik bukan?

Sedang jutaan rakyat Indonesia melaung-laungkan kebencian mereka terhadap Amerika, si Aceh pula yang mengagung-agungkan Presiden A.S. Hei, Aceh, pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia pun banyak membantu. Kenapa tidak ada Jalan S.R Nathan ke, Jalan Badawi ke …?

Aku memang mengalu-alukan bantuan kemanusiaan kepada mangsa-mangsa bencana Tsunami. Aku pun manusia yang ada kemanusiaan tapi apa yang Aceh lakukan memang memeranjatkan dan mengecewakan.

Lupakah mereka tentang apa yang berlaku di Iraq dan Palestin. Angkara siapa? Lupakah mereka tentang label ‘Paksi Kejahatan’ yang A.S berikan kepada Iran. Islam dilabel agama teroris oleh siapa? Jawablah wahai orang Aceh?

Sedih .. Aku sedih … Aku noktahkan pendapat aku di sini sahaja. Nanti jadi kacau bilau pula jadinya.

Ikhlas
Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek



Anak itu Anak Siapa?

Anak itu dibiarkan bebas
Merangkak, berjalan sesuka hati
Tidak dipaksa kehendak sesiapa
Anak itu dibiarkan alpa
Siapa Tuhan?
Dia bertanya

Anak itu dibiarkan berkata
Bermain ragam, bertikam lidah
Tidak ditegur si orang tua
Anak itu dibiarkan berdusta

Anak itu dibiarkan memaksa
Dipenuhi permintaan segala
Si ayah hanya mengganguk kepala
Anak itu dibiarkan bermaharajalela
Aku Raja!
Dia berkata

Anak itu mengenal dewasa
Anak itu kini dipenjara
Dituduh menjadi musuh manusia
Membunuh, memperkosa, dan
1001 macam jenayah jua
Mungkin digantung esok lusa
Aku tidak mahu mati!
Sesal dia berbicara

Anak itu anak siapa?

Elmi Zulkarnain
031205
www.geocities.com/pujanggatemasek

Friday, December 02, 2005

Puisi dan Manusia

Mengapa aku jadi penyair?
Kerana puisi itu gambaran intelek manusia
Kerana puisi adalah hasil industri manusia
Kerana puisi digubal oleh kemahiran manusia

Buat siapa?
Buat manusia juga
Yang sepatutnya ditegur dengan metafora pedas
Yang inginkan kebebasan dari hidup terkandas

Puisi itu seharusnya indah
Bukan setakat permainan kekata
Bukan digunakan untuk memperdaya
Mengawang di minda melukis nan nyata

Hingga kini menjadi perantaraan kisah cinta
Penyair asli hatinya terbuka
Penyair tulen cinta akan masyarakatnya
Tidak mengharap balasan harta dan nama
Ku kesali penyair yang berdusta

Puisiku untuk mendidik
Kadang-kala abstrak, kadang-kala unik
Namun aku bukan penyair fanatik
Aku masih kenal erti cantik
Aku tahu maksud praktik
Aku akur pentingnya kualiti intrinsik

Puisi adalah kepunyaan manusia
Yang tua, muda, adam dan hawa
Penyair dengan puisinya
Puisi dengan manusianya
Makhluk kerdil ciptaanNya

Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek
021205