Thursday, December 22, 2005



Langit Menyimpan Seribu Hujan





Langit menyimpan seribu hujan
Hujan yang menyimpan berjuta harapan
Tunggu membasuh derita desa Rara tercinta

Bersama awan nan mendung
Zahara, nampak murung
Ayah dan ibu tiada bersama
Di bawah timbunan bata entah di mana
Kemiskinan keseorangan cuba fahami hakikat
Mencari kebebasan dari kehidupan tersekat

Lambaian rumputan liar dan angin mendingini
Cuba melenakan dia melupakan segala
Namun, mengingati saudara yang telah pergi
Hati yang remuk asyik bertanya

Kabus menyelimuti segenap kawasan gunung
Hawa sejuk salju menikam kulit
Hanya khemah kanvas menjadi pelindung
Sepuluh tubuh manusia berhimpit-himpit
Terdengar seorang lelaki meraung
Zahara dan gelisah terus bertarung

Penduduk Rara hidup binasa
Musim bertukar keadaan tidak berubah
Rumah dan sekolah masih tiada
Setiap ketika hanya menampung air mata
Gempa Kashmiri telah meragut segala-gala

Si dara yang yatim kini menjadi mangsa
Manusia buas melayan nafsu mereka
Anak kecil dijaja mengejar dolar
Janda cuba menyusu anak tidak bernyawa

Mata merah menyala
Kecewa merayap dalam hati
Zahara ingin terbang tinggi
Membawa jeritan dan sedih sendiri

Dia tidak akan membiar diri kalut begitu
Tergerak pula menenang jiwa terganggu
Tergerak pula ingin sedar dari racau mengganggu
Di atas pasir dengan sejadah
Sebut dia kata-kata Allah
Dengan kain putih menutup kepala
Zahara masih percaya

Akan menjelma seketika cahaya
Merubah derita jadi bahagia
Akar iman mengurat di bumi tercinta
Sungai hampir kering ikut bertasbih
Menyelesakan diri yang kian tertindih
Berzikir bumi memberi pujian pada yang Esa
Hati mula tersenyum bebas dari siksa
Hujan akan turun bersama harapan
Bersama haruman bunga syurga Tuhan
Sungai kembali deras sepanjang masa
Mengalir barakah ke hilir semula

Elmi Zulkarnain
www.geocities.com/pujanggatemasek
22 Disember 2005
Buat Desa Rara, Pakistan

0 Comments:

Post a Comment

<< Home