...cemburu...
Suatu malam, seorang kawan (biar saya beri nama dia Nur) menelefon saya. Dia menyampaikan pesan dari Rul, bf dia - menyuruh saya menelefon Rul. Saya dan Nur hampir terputus hubungan dengn Rul. Hampir berbulan Rul menyepikan diri. Saya tidak pasti status antara Nur dan Rul selepas mereka memilih untuk berpisah dua tahun yang lalu. Mungkin mereka masih berkawan baik atau mereka telah menyambung kembali perkasihan. Saya tidak bertanya lanjut.
Nur kawan sekolej merangkap kawan serumah saya suatu ketika dulu. Dan Rul, kawan yang saya kenal dari IRC dan bertahun lama kenal. Saya yang memperkenalkan mereka berdua. Saya akan ceritakan lebih lanjut lagi tentang ini suatu hari nanti.
Setelah Nur meletakkan telefon malam itu, saya terus menekan nombor Rul. Tiada apa-apa yang dibualkan. Sekadar bertanya khabar dan Rul menjemput saya ke rumahnya hujung minggu. Ada majlis perkahwinan adik dia. Tidak lama kami berbual, saya tidak punya kredit untuk berlama dengan dia. Dan dengan janji yang dibuat oleh saya untuk menelefonnya esok atau lusa, saya akhirnya menekan punat off.
Sejam berlalu. Tiba-tiba saya mendapat SMS dari Nur. Bertanya saya sama ada saya sudah telefon Rul atau belum. Saya beritahu dengan jujur. Sudah. Kemudian Nur membalas lagi. Apa yang saya dan Rul borakkan? Apa yang Rul penting sangat mahu beritahu saya? Saya mula berasa kelainan, tetapi tetap menjawab juga. Rul menjemput datang ke rumahnya - Majlis Perkahwinan. Nur bertanya lagi. Kemudian, apa lagi? Tidak ada apa-apa. Itu saja.
Saya tidak pandai menilai orang. Tapi saya agak pandai meneka perasaan seseorang. Dan saya tidak akan pandai-pandai meneka perasaan orang kalau dia itu saya tidak kenal. Oleh itu, jika saya berada di tempat Nur mungkin saya juga berperasaan seperti dia. Anda mungkin juga. Saya cakap mungkin. Mungkin ada, mungkin tidak.
Cemburu. Ianya bukan satu perkara baru dalam perhubungan saya, Nur dan Rul. Sewaktu mula-mula perkenalan Nur dan Rul, perasaan itu bermain juga di fikiran saya. Jika dulu, Rul akan mendail nombor telefon rumah sewa saya dan bercakap dengan saya, tapi sejak itu tidak lagi. Rul tetap mendail nombor telefon yang sama cuma bercakap dengan orang yang berbeza. Saya cemburu bukan sebab saya ada hati pada Rul, tapi sebab saya mula rasa kehilangan. Tiada lagi kawan untuk berborak dan berlawak. Hidup saya terlalu banyak kehilangan manusia yang bernama kawan.
Dan saya dapat lihat dari riak wajah Nur apabila saya mengganggu perbualan mereka. Bukan saya saja yang perasan. Kawan-kawan serumah yang lain juga perasan. Maka bermula dari hari itu, saya angkat tangan-surrender. Saya buang rasa cemburu saya, untuk melihat mereka bahagia. Tak rugi pun, mereka berdua kawan saya.
Saya tidak salahkan Nur jika dia menyimpan cemburu pada saya atau Rul. Jika sekarang ini status dia dan Rul adalah seperti dua tahun yang lalu, dia berhak. Tapi jangan keterlaluan. Sebagai kawan yang sudah kenal lama, dia perlu percaya pada saya. Bertahun mengenali saya, sepatutnya sudah tahu bagaimana perangai saya. Walau ada kemungkinan, seseorang itu akan berubah.
Setakat ini rekod saya bersih. Tiada kes rampasan yang saya lakukan hingga di hadap ke muka pengadilan. Saya lebih suka menjadi lilin. Membakar, hangus untuk memberi cahaya kepada orang lain. Bila perlu, baru diambil api, hidupkan lilin. Jika tidak, terbiar di dalam laci. Atau kalau sudah terlalu lama, mungkin sudah tidak boleh digunakan lagi.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home