Tuesday, February 24, 2004

Airmata Ibu...

Hari ini ibu menangis sedih. Hati ibu terguris. Aku sendiri tak tahu macamana nak hilangkan kesedihan ibu. Tangisan bukan kerana derhaka anak, tapi amarah seorang kakak. Aku tahu ibu tak berniat jahat, ibu memang seorang yang cepat risau. Sangat bimbang perkara yang bukan-bukan. Tapi itulah ibu.

Isi hati ibu tak siapa yang tahu, tapi tangisan membawa makna yang beribu. Kasihan ibu.

Ibu seorang perwira, berjuang meneruskan hidup tanpa seorang suami, membesarkan anak-anak tanpa seorang ayah. Ibu seorang kekasih, setiap detik setiap saat mencurah kasih sayang tanpa batasan. Tak semua tahu, hidup ibu penuh pengorbanan.

Ayah, jika kau masih di sini, ibu takkan bersedih hati... Ayah, jika kau berada di sisi, ibu takkan berasa sunyi. Tapi kau telah pergi menyahut seruan Illahi...

Ibu, tabahkan hatimu. Jangan putus asa kerana tanpa ibu, padamlah obor azamku. Aku tak mampu jadi seperti mu, hanya mampu bangga dan menyanjungi pengorbananmu. Aku tak mampu jadi setabah dirimu, tersenyum sedang orang sekeliling mencari kesalahanmu. Kau tabah, kau sabar, kau redha.... Setiap kali dugaan menerpa, kau kata "Tuhan sedang menguji kita..."

Ibu, andai air mata ini berguguran, akan banjir tanah ketandusan jika disamakan dengan kasih sayang dan pengorbananmu. Andai bintang jatuh setiap kali matamu berkaca, cakerawala jadi sepi tanpa cahaya berkerlipan.

Ibu ratu hatiku... Tiada kasih setanding kasih ibu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home