Monday, February 10, 2003

Mi amor…”

Jangan ingat demam bola saja yang menyerang Malaysia, hari ini demam drama Amerika Latin juga turut melanda. Maria Mercedes si ratu gelek berpunggung seksi ala JLo menawan hati, La Usurpadora cerita sedih mengembalikan nostalgia era gemilang soap opera Dynasty (Ibu saya cukup meminati telenovela ini!), tidak kurang hebatnya drama Mis Tres Hermanas cinta tiga segi yang banyak plot-plot menyakitkan hati (Kasihan Margarita jadi mangsa maki hamun penonton yang tak puas hati! Awas, jangan sampai tendang tv!) dan baru-baru ini kisah si Betty yang hodoh tapi bijak bistari menawan hati Armando yang bengis asyik nak marah-marah namun akhirnya mengalah; sudah tentunya Yo Soy Betty La Fea.

Semuanya berkisarkan cinta. The world is filled with love!... and yes, love is all around us. Bagi yang menyambut Hari Kekasih, tanggal 14 Februari adalah tarikh yang dinanti-nantikan. Dalam ratusan hari setahun, hanya satu hari itu sahaja si kekasih dilayan dengan penuh keistimewaan. Pelbagai cara dilakukan untuk menawan hati kekasih pada hari istimewa ini. Buat mereka yang mempunyai kekasih, hari ini tentunya hari yang sangat bahagia. Tokei-tokei kedai juga bahagia. Ya, banyak dapat untung jualan terutamanya bunga. Tentu saham coklat dan bunga mawar melambung tinggi pada tanggal 14 Februari. Mahu tak nya, setangkai bunga dijual 4 kali ganda dari harga biasa! Gila! Ya, tapi siapa yang gila? Peniaga atau kita yang gila? Hahaha! Tak kisah la siapa, janji si buah hati pengarang jantung intan payung gembira! Duit habis pun tak mengapa. Wah!... Bahagia dibuatnya kalau setiap hari dilimpahi hadiah begini.

Tidak cukup dengan hadiah, kata-kata manis dan indah juga memainkan peranan penting pada hari istimewa ini. Si dia pening kepala membelek-belek kamus Perancis atau Sepanyol mencari makna perkataan-perkataan ‘jiwang’ untuk dicoretkan dalam puisi cinta untuk si kekasih. Biar tunggang langgang ayatnya, janji ada bunyi macam dalam drama-drama di tv itu sudah memadai. Lagi pun, si dia bukannya mengerti. Paling tidak, dia hanya tersenyum kucing pura-pura faham makna ayat yang diberikan kononnya ia menyentuh hati. Kata Plato, “At a touch of love, everyone becomes a poet!”. Benar, saya amat setuju!

Berbalik pada kisah telenovela Latin tadi, pengaruhnya makin dirasai. Setiap hari ada saja perkataan-perkataan baru yang terkeluar dari mulut penggemar-penggemar telenovela ini. (Rakan-rakan saya juga tidak terkecuali!) Jam 4.30 saja sudah terpacak di depan tv. Tak pernah miss satu episod pun! Punyalah fanatik!... Habis cerita, tiba masa untuk berangan pula. Mahu jadi seperti Lisa Estrada atau mahu cari boyfriend seperti Santiago. Busuk-busuk pengaruhnya, ringtone handphone juga lagu tema drama yang ditonton. Tak cukup di tv, di telefon pun mahu juga!

Si lelaki, cari ayat-ayat puitis untuk si gadis. Mi amor... amore... por favor mi amor! Te qui ero... Se me pero el corazon... je’taime mon amie... (tapi ini sudah bahasa Perancis) Ah, macam-macam lagi ayat-ayat latin ini. Tak kurang juga yang berazam mahu mempelajari. Tidak tahu ilmu pengasih, tahu ilmu bahasa pun jadilah! Cukuplah buat si gadis cair mendengarkan perkataan-perkataan pelik yang baru kali pertama didengari.

Zaman tok nenek kita dahulu, perkara-perkara ini tidak pernah terlintas di fikiran mereka. Malah tidak ada hari istimewa untuk disambut bagi memperingati kekasih hati. Hendak hantar surat cinta pun sorok bawah pasu bunga, inikan pula hendak berdua-duaan. Silap hari, ‘buku lima’ hinggap di muka.

Mungkin 30-40 tahun yang lalu cara mereka berbeza. Generasi hari ini lebih terbuka atau dalam erti kata lain; lebih “global” dan up-to-date. Hari Kekasih disambut di seluruh dunia; tidak kira di Malaysia, Afrika, Indonesia, China, Uganda, Amerika, Mexico, Somalia, Brazil, Jepun atau Korea. Semua menyambutnya.

Namun begitu, ingin saya ingatkan di sini; Hari Kekasih tidak semestinya diraikan hanya bersama kekasih atau teman istimewa sahaja. Kita boleh menyambutnya bersama ahli keluarga, ibu bapa, kakak, abang, adik, datuk atau nenek yang tersayang. Treat them special. Show them how much we appreciate their love and sacrifices.

Bagi mereka yang masih single, available, eligible and looking mungkin pada hari ini, tekanan lebih dirasai. Di sana-sini terlihat manusia berpasangan. Di kampung dan bandar, di shopping complex, di panggung wayang, di restoran, di pasar malam, di mana-mana. Mahu terperap di rumah, bosan pula. Kawan-kawan semuanya keluar bersama buah hati mereka. Kesian... Apa nak buat? Dah nasib badan. Waktu itulah teringat xgf / xbf yang pernah ditinggalkan/meninggalkan. Sedih, sebak, pilu, sengsara, kecewa, geram, marah, benci dan macam-macam lagi perasaan datang mencengkam jiwa raga. Peliknya dalam amarah yang meluap-luap itu (kalah lava gunung berapi yang menggelegak), timbul pula rasa hendak bercinta semula. (Eleh, mengaku saja!) Tapi itulah sebenarnya cinta. Ia bukan untuk dibenci. Ia adalah satu perasaan suci untuk dirasai.

Ada juga yang menyimpan azam hendak cari pengganti dalam masa yang terdekat ini. Tidak mahu sendiri lagi. “Nobody wants to be lonely..” seperti kata Ricky Martin. Sebelum itu, ambil peluang ini kenali diri sendiri. Cuba cari apa yang masih kurang dan perlu diperbaiki. When the time is right and you have found your Mr / Mrs Right, jangan lupa praktikkan perkataan "Mi amor...” untuk memanggil kekasih baru itu nanti! Siapa tahu, mungkin juga ia satu formula yang berkesan bagi mengeratkan hubungan. Selamat Hari Kekasih!

0 Comments:

Post a Comment

<< Home