Luka lama berdarah kembali
Aku tidak sangka akan bertemu dia petang Ahad itu. Sudah berbelas tahun aku tidak berjumpa dengannya. Aku hampir lupa raut wajahnya. Kali terakhir aku berjumpa dengannya sewaktu aku di tingkatan satu. Itupun kerana Abah memaksa aku untuk ke rumahnya. Jika diturut hati yang marah, pasti aku sudah lari ketika Abah memasukkan beg aku untuk membawa aku ke rumahnya. Tapi itu cerita lama. Zaman remaja yang penuh dendam tak berkesudahan.
Petang Ahad itu, aku tidak lari bila bersua dengannya. Cuma sedikit terkejut melihat dia berada di situ. Mungkin aku sendiri sudah lupa yang dia masih hidup.
“Eh! Abang. Dah besar dah abang. Mari duduk sini.”
“Apa khabar Nek. Nenek sihat?” Aku bersalam dengannya. Tangan kedutnya kugenggam dan kukucup. Mungkin aku mengharapkan sedikit kehangatan kasih seorang nenek. Dia mencium pipi aku. Kiri dan kanan. Aku tidak pernah membayangkan semua itu. Ciuman itu seolah-olah membayangkan ikatan yang mesra. Hati aku sekilas berdetik, “sandiwara apa lagi yang dia mahu pertontonkan kali ini?”
Sewaktu kecil aku bukanlah cucu kesayangannya. Aku cuma cucu yang pertama. Tiada apa yang istimewa menjadi cucu pertama jika kau dilahirkan berbeza dari orang lain.
Petang Ahad itu membuat aku sedar, memaafkan seseorang itu lebih sukar daripada memohon maaf. Lukanya mungkin sudah sembuh tapi parutnya terus kekal untuk mengingatkan kita kesakitan yang kita pernah alami. Bagaimana peritnya diterajang seperti anjing kurap. Bagaimana sedihnya dipinggirkan seperti boneka yang tidak bernilai. Kesakitan yang ada di hati lebih lambat sembuhnya dari luka di badan.
Cuma peliknya petang itu, dendam aku mula berbaur dengan perasaan kasihan. Melihat keadaannya yang sedikit uzur seolah tidak membenarkan aku untuk terus membakar rasa marah pada perempuan tua itu.
Dia mengajak aku berbual. Tapi seperti biasa, aku lebih suka mendengar dari bercerita. Tapi tiap persoalan yang dia lontarkan aku jawab seikhlas mungkin walaupun cuma sepatah yang mampu kuberi. Tunang aku yang banyak menyelamatkan keadaan dengan berbicara dengannya. Rasa marah yang sekepal itu seakan menghindar aku untuk berbual mesra dengannya. Aku rasa tiada kepentingan pun untuk berbual dengannya.
Mungkin aku patut menyoal, “kenapa nenek benci sangat dengan emak?”. Mungkin aku patut bertanya, “kenapa nenek tergamak meminta Abah menceraikan Emak? Nenek tak mahu ambil tahu apa akan jadi kalau Abah dan Emak berpisah.” Tapi mulut aku terkunci. Lidah aku kelu. Dia pun akhirnya lebih banyak menyepi.
“Minta diri dulu, Nek. Minta maaflah kalau ada terkasar bahasa. Halalkan makan minum saya ya nek?”
“Abang tak tidur sini?”
Mungkin dia sedikit kecewa. Sudah lama tidak berjumpa, bila berjumpa cepat pula mahu berpisah. Tapi aku tidak nampak segala kerut kekecewaan itu kerana aku tidak memandang tepat wajahnya.
Dia memelukku. Air matanya mula menitik. Seperti tadi, pipiku dicium. Kiri dan kanan. Kemudian dia memeluk erat pula tunangku. Aku lihat pelupuk matanya sudah basah.
“Jagalah abang baik-baik. Cepat-cepatlah kahwin. Jangan tunggu lama-lama.”
Kata-katanya itu sedikit mengoyah dendamku. Mungkin inilah amanatnya yang terakhir. Mungkin itulah caranya untuk menebus dosa lampaunya dengan menyerahkan aku untuk dijaga seorang wanita yang cukup sempurna di mata aku.
Luka di hati masih berdarah? Mungkin tidak lagi.
Parutnya masih ada? Aku sudah tidak peduli.
Mungkin sudah tiba waktunya untuk aku memaafkan dia. Dengan itu aku boleh memaafkan diri aku sendiri di kemudian hari. Pertemuan singkat itu tidak banyak melerai kekusutan di dada. Tapi pertemuan singkat itu sarat terkandung pengajaran yang paling bererti untuk menempuhi ranjau kehidupan di hari muka kelak.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home