TRAGEDI KLCC
"Ehe... Awak buat apa kat sini?" tanya Fairuz sambil tersipu-sipu malu sampai muka pun naik biru. Hah! Haru betul. Macamana boleh terserempak dengan mamat ni dekat sini? Girlfriend di sebelah menggenggam erat tangannya bagaikan KLCC macam nak roboh. Kalau boleh nak digari terus. Takut sangat saya kebas boyfriend nya tu. Tiada senyuman yang terukir dibibirnya sambil mengalihkan pandangan daripada melihat saya yang comel ini. (Bukan masuk bakul angkat sendiri, tapi memang benar saya comel! Hehe..)
Padanlah dari rumah lagi perut terasa memulas-mulas(bukan tanda-tanda nak 'melabur' ya?).Asyik keluar masuk rumah walau berkali-kali menghulur tangan mencium ibu di pipi sambil mengucapkan selamat tinggal. Tidak saya menyangka akan bertemu ex-boyfriend saya di KLCC. Peristiwa yang tidak disangka-sangka. Satu 'tragedi'?... Ya, mungkin juga.
Ex-boyfriend saya tinggal di Johor Bahru. Hampir 3 tahun kami berpisah. Peristiwa silam yang saya ingin lupakan sehingga hari ini. Ya, saya akui saya masih menyayanginya tetapi sebagai seorang kawan sahaja! Tak lebih dari itu. Mungkin lebih sedikit.. hehe. Tapi saya belajar menerima hakikat yang mungkin ini sudah takdir yang tertulis di Luh Mahfuz... Biarpun bukan kehendak dihati, tapi apakan daya... sudah nasib badan. Kami berkawan rapat walaupun adakalanya terasa sedikit kekok (dulu boyfriend, sekarang ex-boyfriend!)
Gelihati saya melihat gelagat Nila (teman wanita ex-boyfriend saya) apabila menyedari yang saya berdiri dihadapannya sambil berbual ramah dengan teman lelakinya (yang juga teman lelaki saya-dahulu!) Mungkin cemburu membuak-buak di dalam dada sehingga memalingkan muka dari melihat saya. Haha! Biasalah, perempuan! Melihatkan reaksi yang tidak begitu 'memberangsangkan' daripada Nila, saya cuba menceriakan keadaan (ingin jadi lebih profesional lah kononnya..) Saya hulurkan tangan bersalaman dengan Nila sambil bertanyakan khabarnya. Intonasi jawapannya bukanlah seperti yang diharapkan (Ya lah! Mana tak geram melihat boyfriend berbual rancak dengan ex-girlfriend di depan mata kepala sendiri pula tu!)
Saya memendekkan sessi perbualan kami apabila menyedari yang Nila tidak begitu menyenangi kehadiran saya (saya ni kacau daun lah kiranya...) Fairuz nampak gembira walaupun sedikit terkejut melihat saya (sudah terkantoi lah katakan...) Cuma Nila yang masam mencuka melihat kami berdua berbual.
Gelagat Nila terbayang-bayang di fikiran saya. Adakalanya saya tersengih. Mungkin kerana terasa gelihati melihatkan mimik muka yang muncung dan masam mencuka, mungkin juga kerana saya terasa puas melihatkan dia berkelakuan sedemikian (Hahaha! Jahatnya saya!). Bila difikirkan kembali, saya rasa saya seorang yang cemburu juga rupanya.
Kata orang tua-tua "Cemburu itu tandanya sayang." Memang saya akui kata-kata itu ada kebenarannya. Seperti yang saya katakan, saya juga cemburu orangnya. Tetapi saya masih lagi boleh bertoleransi dengan situasi. Tidak mahu cemburu buta. Teman-teman saya (kebanyakkannya lelaki) seringkali mengatakan wanita ini kuat cemburu. Mungkin juga! Tetapi ada kajian yang menunjukkan lelaki lebih cemburu daripada wanita. Kadangkala cemburunya itu membawa kepada obsesi yang keterlaluan. Tidak percaya? Kebanyakkan lelaki yang sanggup melanyak sesiapa sahaja yang cuba menggoda teman wanitanya. Lebih-lebih lagi jika teman wanitanya itu kiut miut macam saya ni! :P Walaupun tidak semua lelaki menggunakan pendekatan yang sebegitu, tetapi agendanya tetap sama, "What's mine is NOT yours!"
Pada peringkat awal, mungkin si gadis berasa bangga mempunyai teman lelaki yang protective dan berlagak seperti Clark Kent yang cuba mempertahankan Lois Lane daripada diculik penjahat. Tetapi selama mana kesanggupan si gadis untuk diperlakukan seperti itu? Ini adalah realiti bukannya imaginasi. Mula-mula mempertahankan, lama-lama menjadi 'tahanan'! Akhirnya terkurung dalam sangkar cinta sendiri! (cewah!)
Banyak faktor yang menyumbang kepada wujudnya perasaan cemburu ini. Antaranya perasaan sayang (adakalanya menjadi ter-over sayang!), tidak sanggup kehilangan si dia, material, wang ringgit, usia dan sebagainya. Faktor-faktor ini semua menjadi katalis syndrome of jealousy yang rata-rata dihidapi oleh semua manusia.
Teringat saya kepada seorang teman yang sering mengadu kepada saya perihal teman wanitanya yang kuat cemburu dan sering mengongkongnya. Teman saya itu sememangnya good looking, muscles nya berketul-ketul (tapi tidaklah seperti ahli bina badan tu!), aktif bersukan, boleh bermain muzik, pendek kata dia memang memiliki ciri-ciri yang sememangnya idola setiap wanita. Teman saya pula tidak suka diperlakukan seperti anak kecil (walaupun hakikatnya dia memang anak bongsu!) Mungkin sudah biasa dimanjakan, dia muak untuk dilayan seperti itu. Teman wanitanya yang cemburu itu pula membuatkan dia rasa dia yang lebih matang daripada wanita itu (teman wanitanya tua 5 tahun!). Teman saya mengatakan yang dia sering dimarahi teman wanitanya. (kesian ya?) Mungkin beza usia antara mereka berdua membuatkan teman wanitanya terasa seperti berada di zon bahaya. Lebih-lebih lagi apabila teman saya ini sering dikelilingi gadis-gadis yang cantik molek dan lebih muda daripadanya. Hati siapa yang tidak bergelodak dengan perasaan cemburu?
Lazimnya, fenomena cemburu ini dilihat dengan lebih ketara berlaku dikalangan pasangan yang sedang bercinta. Ia juga berlaku dalam hidup anda (Jangan cuba nafikan yang anda tidak cemburu!)
Seorang teman saya sudah bercinta lebih sepuluh tahun, akhirnya terpaksa berpisah dengan kekasihnya hanya disebabkan dia sudah tidak tahan dengan sikap cemburu kekasihnya itu. Apa sahaja kemahuannya dituruti. Mahu telefon bimbit? Boleh saja. Yang mahal sekali tentunya! Hinggakan wang untuk membeli pakaian dalam pun diberikannya. No questions asked! Tetapi masih lagi kekasihnya was-was dengannya.
Teman saya memang seorang yang sangat setia. Tidak suka keluar berdua dengan kawan-kawan perempuan yang lain. (Takut girlfriend marah katanya!) Adakalanya ia menjadi satu bahan ejekan rakan-rakan yang lain, tetapi saya rasa sikapnya yang setia itu patut dihormati. Bukan mudah nak hindari diri daripada godaan! Terutamanya bila sudah berkerjaya, pandu kereta sendiri (besar pula tu!) dan mampu membiayai perbelanjaan kedua orang tua (girlfriend tidak terkecuali!).
Selepas berpisah, teman saya tu punyalah frust menonggeng sehingga sanggup minum minyak cap kapak! (Pelik sungguh lelaki ni ya?) Saya sendiri tidak pernah terfikir hendak meneguk minyak cap kapak! Kata teman saya ini dia tidak sanggup melihat bekas kekasihnya bersama orang baru. (Cemburu lagi?)
Bercerita tentang hal cemburu ini membuatkan saya teringat dengan kisah Bawang Putih, Bawang Merah. Keluarga jadi porak-peranda sehingga sanggup berbunuhan (walaupun ibunya bertukar menjadi ikan kaloi, niatnya tetap sama!) Penghujung ceritanya Bawang Putih hidup bahagia bersama prince charming and they live happily ever after!
Kisah yang menyayat hati (sepupu saya menangis ketika menonton cerita ini!) Hakikatnya hidup ini penuh dengan pelbagai emosi dan perasaan. Positif atau negatif, itu kita sendiri yang tentukan. Adakalanya, minda kita tidak dapat menerima kenyataan yang sudah terpampang di depan mata kerana hati tidak mahu mengiyakan. Ya, mungkin sukar kerana ramai yang tidak mampu melakukannya.
Banyak yang perlu dipelajari daripada kehidupan ini. Kisah dongengan dan mitos patut kita lihat sebagai satu metafora kehidupan sebenar. Adakalanya kita lihat ia sebagai satu bahan hiburan, tetapi sebenarnya ia adalah refleksi daripada apa yang berlaku di sekeliling kita setiap hari. Bukan sekadar rekaan tanpa sebarang makna. Ramai antara kita yang menyalahkan orang lain atas apa yang terjadi terhadap diri kita, but we often forget to look deep inside ourselves! Saya teringat satu baris dialog dalam sebuah drama bersiri Inggeris yang menarik perhatian saya; "I think you should be wearing mirrors instead of wearing clothes!"
Seseorang yang terlalu cemburu boleh menjadi jelik! Umpama seorang pelukis penuh ekspresi tetapi melukis di atas angin. Kanvas dibiarnya kosong, cat bertaburan di lantai. Semua orang mengidamkan sebuah kehidupan yang bahagia tetapi ramai yang tidak mahu menerima realiti. Tanggapan mereka hidup ini sepatutnya lebih mudah dan indah. Penghujung cerita akan selalu berakhir dengan suasana ceria. Hakikatnya, hidup ini bukanlah manifestasi sebuah mimpi, tetapi realiti! Cemburu buta tidak bawa kemana, hanya luka dan perasaan geram yang membara dan membuak-buak bagai Gunung Pinatubo yang menanti untuk memuntahkan lavanya.
“No matter what, don't look back. Obladi... oblada... life goes on!” kata rakan saya. Jalani hidup dengan penuh keceriaan dan sentiasa tersenyum walau dalam kesusahan (macam ikrar Pandu Puteri!) Seperti kata Mahatma Gandhi "Live as if you were to die tomorrow, learn as if you were to live forever!"
Tragedi KLCC mungkin satu kenangan dan mungkin juga satu pengajaran. Tidak salah jika hendak cemburu kerana ia adalah satu perasaan yang dikurniakan oleh-Nya kepada kita. Tetapi, jangan pula cemburu itu menguasai diri sehingga mampu membinasakan orang lain. Cinta yang dibina walaupun sekukuh manapun, akan runtuh seperti menara WTC jika cemburu bermaharajalela. Betul tak?
0 Comments:
Post a Comment
<< Home