Dari Setitis Air Yang Hina
Lokasi: Rumah Abah di Taman Soga, Batu Pahat.
Masa: Hari Raya keempat tahun lepas. Selepas solat Isyak.
Masa itu aku masih berambut panjang. Aku tau Abah tak suka tengok rambut aku tapi aku tak peduli. Abah tau aku memang degil. Semua orang tau aku memang degil.
Setelah beberapa lama ayah mertua adik lelaki aku berbual dengan birasnya, kini tibalah masanya untuk kami pulang ke Johor Bahru. Semua bersalaman dengan Abah dan isterinya. Aku orang yang terakhir sekali bersalaman dengan Abah.
Abah pandang wajah aku dalam-dalam. Dia tepuk bahu aku. "Panjang rambut abang ni," dia ketawa kecil. "Selamat Hari Raya, Abang. Abah tau Abah banyak buat silap. Abah minta maaf."
Suara aku tiba-tiba tersekat di kerongkong. Aku tak mau perasaan kasihan atau sedih menguasai diri aku tapi tanpa aku sedari air mata mula bergenang di mataku.
"Abang pun minta maaf banyak-banyak. Selamat Hari Raya, Abah. Maaf zahir batin. Halalkan makan minum saya."
Aku peluk Abah. Dah lama aku tak peluk Abah. Aku rindukan Abah. Sekarang Abah ada di depan mata.
Air mata Abah mengalir lesu. Pelukan Abah bertambah erat. Perasaan sakit hati aku pada Abah beransur reda.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home